Menghayati Nilai Di Sebalik Tema Hari Guru | BAHAGIAN PERUMAHAN DAN PENEMPATAN
» ARTIKEL » Menghayati nilai di sebalik tema Hari Guru

Menghayati nilai di sebalik tema Hari Guru

Menghayati nilai di sebalik tema Hari Guru

MOHAMAD MUHAIMIN MOHAMAD ZAKI |

 

TARIKH keramat 16 Mei pada setiap tahun, kita merayakan sambutan hari guru bermula di peringkat sekolah hinggalah kebangsaan.

Namun, pada tahun ini amat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Bermula dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020, detik bersejarah itu berlangsung ketika warga sekolah sedang bercuti pertengahan penggal pertama persekolahan.

Bertemakan berguru demi ilmu, bina generasi baharu, sambutan hari guru pada kali ini walaupun tidak dijalankan secara meriah di dewan sekolah, dengan berbagai persembahahan dan pertunjukan bagi menghargai jasa insan yang bergelar guru sesuai dengan perintah kawalan pergerakan bersyarat ketika ini, bukan bermakna sambutan itu dibiarkan hambar dan berlalu sepi begitu sahaja.

Tambahan pula, hari guru pada tahun ini menjelma dalam bulan Ramadan yang mulia.

Mungkin pelbagai iniseatif telah dijalankan oleh pentadbiran sekolah serta institusi pendidikan bagi mewarnai keceriaan sambutan hari guru pada kali ini.

Ada yang menjalankan secara atas talian, tidak kurang juga menyambutnya dengan memberikan hadiah secara kiriman pos kepada para guru yang telah berkorban jiwa dan raga mendidik para pelajar daripada tidak mengetahui kepada mengetahui, jahil kepada berilmu dan lembap kepada cekap.

Kesungguhan para guru di Malaysia tidak boleh dipertikaian. Buktinya, walaupun berbagai kekangan sewaktu tempoh PKP dilaksanakan, setakat jam 2.30 petang pada 17 April 2020 mendapati Malaysia mendahului 51 negara lain termasuk negara-negara maju yang turut tersenarai dalam carian popular frasa ‘Google Classroom’ tertinggi di dalam tempoh sejak sebulan lalu manakala Indonesia berada di tangga ke-2 diikuti Albania, Serbia dan Hungary bagi kedudukan lima ke atas.

'Google Classroom' merupakan satu perisian pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian yang dikendalikan oleh Google yang menjadi platform oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai pendekatan digunakan guru-guru dalam pembelajaran digital ketika tempoh PKP.

Itu semua mungkin hanya sekelumit daripada kisah pengorbanan para guru yang telah berkorban jiwa dan raga untuk anak didik yang dikasihi.

Malah, pengorbanan guru tidak boleh diganti dengan wang ringgit dan kemewahan duniawi.

Terdapat berita dimana seorang guru, Cikgu Muhammad Nazmi Rosli yang sanggup berkorban jiwa dan nyawa meredah laluan balak hampir enam jam ke 13 kampung bagi menghantar set soalan kepada anak didiknya agar mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran akibat tiada akses internet di kawasan tersebut.

 

Penulis tertarik dengan klip video yang disiarkan di laman media sosial Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin yang mengimbas kembali memoir emas perguruan beliau.

Sesuai dengan pengiktirafan Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum) pada tahun 2018 yang telah mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai tahap persaingan lebih baik dalam bidang pendidikan dari 141 buah negara di seluruh dunia Berdasarkan laporan tersebut, Malaysia menduduki tangga ke-19 lebih baik daripada negara maju seperti United Kingdom (UK) di tangga 20, Perancis (26), dan Jepun (31).

Dalam kalangan negara Asia Tenggara pula, kualiti pendidikan Malaysia, berada di tangga kedua selepas Singapura (1), Indonesia (3), Thailand (4), dan Vietnam (5).

Ini meletakkan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang mempunyai daya saing yang kompetatif dan progresif dalam usaha memperkasa bidang pendidikan.

Menghayati tema berguru dengan ilmu, bina generasi baharu sudah semestinya budaya memupuk pembelajaran sepanjang hayat seharusnya meresap bukan sahaja dalam kalangan mereka yang dididik, malah kepada mereka yang telah bergelar seorang pendidik.

Bertepatan dengan kalam ulama’ yang menyebutkan tuntutlah ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad, sewajarnya semangat menuntut ilmu dalam kalangan warga sekolah seperti pelajar, guru, kakitangan serta pentadbir sekolah haruslah disemai dengan sebaik mungkin.

Sambutan hari guru juga bukan hanya sebagai tanda bagi memperingati pengorbanan guru dalam mendidik, membimbing serta membentuk anak bangsa, malah menghargai pengorbanan mereka yang tidak ternilai harganya.

Guru... minda segar dan kukuh akar menghidupkan batin yang bersih, di daerah dunia cemar kasih dan pada ketika tak tersangkakan, walau diambilnya kembali semua buku, sempat ditinggalkannya asas ilmu. Guru adalah batin suci hati nurani, penjunjung budi, manusia yang taqwa..

Ingatlah, walau siapa pun kita pada hari ini, ingatlah jasa, pengorbanan dan perjuangan guru yang mendidik kita semua menjadi insan berjaya. Buat semua insan yang bergelar guru, tidak terbalas jasa kalian dalam mendidik anak watan.

Terima kasih cikgu!

Mohamad Muhaimin bin Mohamad Zaki merupakan penuntut Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/83739/KHAS/Pendapat/Menghayati-nilai-di-sebalik-tema-Hari-Guru-2020

© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

 

Tarikh Input: 16/05/2021 | Kemaskini: 16/05/2021 | ma_husaini

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN PERUMAHAN DAN PENEMPATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 1316
-
SXDdQAp~