SERDANG, 28 April – Walaupun suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri masih menyelubungi negara, kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa yang menetap di luar kampus tetap menjadi keutamaan Universiti Putra Malaysia (UPM). Menyedari hakikat bahawa ada dalam kalangan pelajar yang memilih atau terpaksa terus menetap di kawasan kediaman sekitar universiti sepanjang musim perayaan ini, Majlis Pelajar Luar Kampus (MPLK) dengan kerjasama erat Bahagian Perumahan dan Penempatan (BPP) UPM telah menggembleng tenaga menganjurkan program kebajikan Ziarah Luar Kampus (ZLK): Edisi Hari Raya Aidilfitri 2026.
Program bersiri ini dianjurkan berteraskan nilai keprihatinan komuniti serta pengukuhan ikatan silaturahim antara pihak universiti dan pelajarnya. Selain bertujuan untuk meringankan beban kewangan dan sara hidup mahasiswa, inisiatif ini juga dilaksanakan bagi memastikan kebajikan emosi dan fizikal mereka sentiasa terjaga ketika berada jauh daripada keluarga pada waktu perayaan mahupun detik yang sukar.
Pelaksanaan program ZLK Raya Edition kali ini bukan sekadar aktiviti bermusim, malah ia menyokong penuh gagasan “True North” yang diperkenalkan oleh UPM dalam mencapai hala tuju strategik universiti. Program ini secara langsung menyentuh dua teras utama, iaitu Teras 3 (Kesukarelawanan) dan Teras 8 (Kehidupan Kampus).
Bukan itu sahaja, ia turut berjalan seiring dengan Pelan Strategik H.E.P.A UPM 2024 menerusi Tonggak Ketiga (Pengukuhan Komuniti) dan Tonggak Keempat (Pengalaman Pembelajaran dan Kehidupan Terbaik).
Melalui penglibatan seramai 14 orang jawatankuasa pelaksana dalam kalangan mahasiswa (MPLK) serta sokongan padu daripada 17 orang staf BPP UPM, sebanyak 100 unit Kit Bantuan Asas ZLK berjaya diagihkan. Kit bantuan tersebut mengandungi bekalan makanan keperluan harian yang diserahkan terus kepada pelajar di lima (5) kawasan penempatan tumpuan luar kampus sekitar Serdang, antaranya:
Taman Sri Serdang
Mutiara Residence
Vista Pinggiran Putra
Kerjasama padu antara mahasiswa dan staf pengiring ini mencerminkan pendekatan Jiwa Putra yang sebenar, iaitu sebuah acuan yang menekankan pembinaan nilai empati, keprihatinan, serta tanggungjawab sosial yang tinggi dalam kalangan warga universiti.
Walaupun sesi agihan secara turun padang (ziarah) berjalan lancar, pihak urus setia tetap berhadapan dengan kekangan faktor percanggahan jadual waktu kuliah sebahagian pelajar. Bagaimanapun, demi memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada menerima bantuan, baki kotak bekalan makanan tersebut telah ditempatkan di Pejabat Bahagian Perumahan dan Penempatan (BPP) UPM untuk dituntut sendiri oleh pelajar yang terlibat pada waktu dan hari bekerja pejabat.
Secara keseluruhannya, program ZLK Raya Edition 2026 ini bukan sahaja mencapai objektif kebajikannya dalam membantu 100 orang mahasiswa , malah memperkukuhkan lagi imej UPM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang prihatin, inklusif, dan sentiasa komited menyokong agenda pembangunan sahsiah serta kesejahteraan komuniti pelajarnya secara menyeluruh.
Tarikh Input: 27/04/2021 | Kemaskini: 22/05/2026 | ma_husaini

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR, MALAYSIA